Penerapan Seni Budaya Perlu Seimbang dengan Sosial, Ekonomi, Politik

Melaka, Malaysia - Penerapan seni budaya dalam memartabat serta memantapkan jati diri seni wa­risan dalam kalangan belia menerusi kegiatan seni budaya perlu bagi mengimbangi tahap pe­ngetahuan serta kemahiran mereka bagi bidang sosial, ekonomi dan politik.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, Institut Seni Malaysia Melaka (ISMM) bekerjasama dengan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Melaka, Jabatan Warisan Negara, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) serta Perbadanan Muzium Melaka dalam memastikan usaha tersebut terlaksana.

Menurutnya, rakyat di negara ini amat memerlukan tunjang seni sebagai santapan jiwa yang menjadi teras dalam sosio budaya rakyat.

“Bidang muzik, teater, tarian, filem persembahan pentas dan seni budaya lain seharusnya giat berkembang selaras dengan cita rasa, konsep dan daya kreativiti setempat yang boleh menjadikan industri ini antara nilai yang sangat penting dalam menjana ekonomi negara dan Melaka.

“Pengetahuan mendalam me­ngenai bidang seni juga sebenar­nya amat penting dalam usaha memeriahkan lagi suasana ekonomi berasaskan pe­ngetahuan di negara ini,” katanya.

Turut hadir, Pengurus Besar ISMM, Dr. Mohd. Nasruddin Rahman.

Beliau berkata demikian ketika berucap dan merasmikan Seminar Dondang Sayang di Balai Adat, Perkampungan Hang Tuah, Duyong di sini baru-baru ini.

Ab. Rahaman berkata, penganjuran seminar tersebut merupakan inisiatif murni untuk mengajak pelbagai peringkat masyarakat dalam memupuk jati diri dan semangat cintakan seni dan budaya bangsa.

Katanya, warga belia serta golongan pelajar sekolah perlu sentiasa peka dan responsif dengan tuntutan semasa dalam menggarap kemahiran minda dan sikap yang membolehkan mereka menghadapi cabaran baru ekonomi yang berteraskan pe­ngetahuan.

Ab. Rahaman berkata, sebagai bahasa ilmu, Bahasa Melayu yang digunakan dalam pantun Dondang Sayang sentiasa dimartabatkan seiring dengan kemajuan negara.

-

Arsip Blog

Recent Posts