Warna-warni Lan Berambeh Anak Sarawak

Kuala Lumpur, Malaysia - Keadaan di pekarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur riuh-rendah apabila orang ramai khususnya anak jati Sarawak berkumpul sempena Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak 2014 yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 31 Oktober lalu.

Walaupun cuaca tidak berapa mengizinkan dengan keadaan hujan sepanjang karnival itu berlangsung, ia tidak melunturkan semangat orang ramai khususnya perantau Bumi Kenyalang untuk hadir memberi sokongan terhadap program tersebut.

Kehadiran anak Sarawak ke karnival tersebut tidak terbatas kepada mereka yang berada di Lembah Klang sahaja, malah ia turut dihadiri oleh anak jati negeri itu dari seluruh pelosok Semenanjung.

Bersesuaian dengan maksud ‘lan berambeh’ iaitu jom singgah dalam bahasa Melayu Sarawak, karnival tersebut berjaya mengumpulkan kira-kira 80,000 pengunjung kebanyakannya masyarakat Bumi Kenyalang.

Karnival anjuran Persatuan Anak Sarawak Semenanjung dengan kerjasama Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera Sarawak, Rumah Sarawak Kuala Lumpur dan Yayasan Sarawak itu merupakan program terbesar pernah diadakan sejak persatuan itu diwujudkan pada tahun 2008.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan, antaranya senamrobik mega, mini konsert, Randau Santai Bersama Pemimpin serta majlis Makan Malam Anak Sarawak sebagai acara kemuncak.

Malah, Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan timbalannya, Datin Paduka Chew Mei Fun turut serta me meriahkan aktiviti senamrobik mega.

Pada program jamuan makan malam pula dihadiri lebih 10,000 anak Sarawak bersama pemimpin-pemimpin negeri termasuk Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

“Saya rasa sangat seronok kerana dapat berjumpa rakan-rakan dan pemimpin-pemimpin dari Sarawak walaupun terpaksa menempuh perjalanan selama lima jam dari utara.

“Program ini memang bagus dan bermanfaat kepada rakyat Sarawak yang menetap di Semenanjung kerana dapat merapatkan hubungan silaturahim antara kami selain melepaskan kerinduan terhadap keluarga di kampung.

“Ramai kawan sewaktu di bangku sekolah rendah yang sudah lama tidak bertemu, tidak sangka dapat berjumpa di sini,” ujar pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang, Izzy Asrin Maskin.

Menurut pelajar yang berasal dari Kota Samarahan itu, dia juga berpeluang menikmati hidangan tradisional asli kegemarannya iaitu mi kolok dan laksa Sarawak.

Kampung halaman

“Apabila menjejakkan kaki di tapak karnival ini, saya langsung tidak berasa berada di Kuala Lumpur, sebaliknya seperti di kampung halaman kerana dikelilingi orang-orang Sarawak selain hiasan dalamannya bercirikan Borneo.

“Saya pasti akan membeli barang-barang khususnya kek lapis Sarawak untuk dibawa pulang ke kampus sebagai bekalan dan cenderamata kepada kawan-kawan,” tutur jejaka berumur 22 tahun itu penuh semangat.

Selain membawa makanan tradisi ne geri itu, karnival tersebut turut mempamerkan seni kraf dan budaya turun-temurun masyarakat Sarawak seperti manik Sarawak, tenunan pua kumbu, sulaman Ke ringkam, joget Sarawak dan tikar Sarawak.

“Banyak perkara mengenai kebudayaan masyarakat Sarawak dapat saya saksikan seperti pakaian tradisional, kraf tangan serta makanan autentiknya.

“Karnival ini turut menarik orang ramai yang bukan berasal dari negeri tersebut termasuk saya sendiri untuk pergi melancong ke Sarawak dan mengalami sendiri suasana sebenar kehidupan di sana.

“Program ini patut diadakan setiap tahun bagi memberi peluang kepada orang ramai mempelajari sedikit sebanyak budaya penduduk Sawarak dan membuka mata mereka terhadap kepelbagaian budaya di negara ini,” kata pelajar jurusan Pentadbiran Korporat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, Negeri Sembilan, Nurul Shairah Ismail, 21.

-

Arsip Blog

Recent Posts