Pesta Sukan dan Kebudayaan Belia Malaysia di Kangar 20-23 Nov

Kangar, Malaysia - Lebih 2,000 belia dari seluruh negara dijangka menyertai Pesta Sukan dan Kebudayaan Belia Malaysia keempat yang akan berlangsung di sini, dari 20 hingga 23 Nov ini.

Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam kenyataan hari ini, berkata peserta pesta itu adalah anggota belia dalam 38 badan gabungan MBM serta terbuka kepada belia yang tidak menganggotai mana-mana persatuan.

Pesta itu dianjurkan MBM dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan negeri Perlis, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) serta Majlis Belia Negeri Perlis selaku tuan rumah.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dijadual merasmikan penutupan pesta itu yang dijadual diadakan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dekat sini, pada malam 22 Nov, menurut kenyataan itu.

Sepanjang pesta itu, beberapa acara akan diadakan seperti pertandingan futsal (lelaki dan wanita), badminton (berpasukan dan campuran), bola jaring, ping pong (berpasukan dan campuran), paintball (badan gabungan dan terbuka), sepak takraw, bola keranjang (lelaki dan wanita), tarian rampaian 1Malaysia, lagu irama Malaysia, sayembara puisi dan nyanyian lagu puisi.

MBM berkata pesta itu diadakan bertujuan bagi memastikan belia Malaysia menyambut gagasan 'negara bersukan' sebagaimana dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2015, di samping menjunjung akar warisan budaya negara melalui pertandingan kebudayaan yang dianjurkan.

"Dengan penganjuran pesta ini juga diharap dapat menarik lebih ramai generasi muda menyertai persatuan belia agar secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai semangat berpasukan dan kepimpinan," kata MBM.

Pesta berkenaan mula dianjurkan di Perak pada 2007, diikuti Pulau Pinang (2010) dan 2012 di Negeri Sembilan.

-

Arsip Blog

Recent Posts