Lima Tokoh Seni Budaya Terima Anugerah DMDI

Kuala Lumpur, Malaysia - Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) akan memberi penghargaan kepada lima tokoh seni budaya dari Malaysia dan Indonesia di atas usaha dan pengorbanan golongan itu dalam memartabatkan warisan peradaban Melayu serumpun.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pengiktirafan itu diyakini dapat merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara sekali gus mewujudkan kesatuan serta perpaduan dalam kalangan umat Melayu dan Islam.
"Tokoh-tokoh yang dipilih terdiri daripada penggerak seni budaya dan adat Melayu yang telah memainkan peranan penting di rumpun ini termasuk di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.
"Adalah menjadi harapan DMDI agar tokoh-tokoh ini mampu meneruskan usaha murni bukan sahaja dalam memartabatkan warisan seni budaya dan peradaban di rumpun Melayu malah memperkasakan semangat jati diri, patriotisme dan cintakan negara," katanya dalam sidang akhbar sempena penganjuran Konvensyen DMDI Ke-14, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.
Konvensyen DMDI yang akan diadakan pada 28 hingga 30 Oktober ini di Hotel Hatten, Bandar Hilir, Melaka itu bertujuan menghimpunkan pemimpin dan tokoh Melayu-Islam bagi membincangkan pelbagai aspek pembangunan, pendidikan, sosiobudaya dan keagamaan.
Seramai 1,000 peserta dijangka hadir dalam konvensyen itu termasuk delegasi luar daripada 18 negara anggota iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Filipina, Kemboja, Sri Lanka, Australia, China, Madagascar, Afrika Selatan, United Kingdom, Timur Leste, Mesir, Maldives, Bosnia-Herzegovina dan Belanda.
Mohd. Ali yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkata, antara penerima Anugerah Tokoh Penggerak Budaya itu ialah pengarah filem, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan pelukis negara, Ismail Embong.
Tambahnya, tiga tokoh lain termasuk Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Raja Ali Haji, Kepulauan Riau, Datuk Drs. Abdul Malek Abdul Mutaarib; tokoh dari Majlis Adat Budaya Melayu, Medan, Zaidan B.F dan Ketua Yayasan Tun Sri Lanang di Acheh, Datuk Pocut Haslinda Syahrul yang juga pewaris keturunan Tun Sri Lanang.
Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, pihak sekretariat DMDI juga dijangka membincangkan isu jerebu yang sering melanda Semenanjung tanah air dalam konvensyen selama tiga hari itu.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyokong usaha Gapena untuk menganjurkan program Kepimpinan Jati Diri dan Patriotisme esok yang dilihat selaras dengan objektif konvensyen DMDI.
-

Arsip Blog

Recent Posts